Kanak kanak 11 tahun mati akibat Influenza A


MIRI: Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia akibat Influenza A dengan kegagalan pelbagai organ di Hospital Miri, dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing berkata, mangsa berusia 11 tahun telah mendapat rawatan di Hospital Miri pada 8 Mac 2020 dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri pada hari yang sama. 



“Kes telah mengalami demam panas, batuk, muntah dan sesak nafas sejak 5 Mac 2020. Kes tidak mempunyai sejarah melawat ke luar negara atau mempunyai sejarah kontak dengan kes COVID-19.

“Malah, keputusan makmal bagi ujian saringan jangkitan COVID-19 yang telah dijalankan sebanyak dua kali ke atas kes iaitu pada 9 Mac 2020 dan 10 Mac 2020 juga didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disahkan meninggal dunia pada jam 5.45 pagi 11 Mac.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin mengucapkan takziah kepada keluarga pesakit terbabit.


Berikut adalah kenyataan penuh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. 


MAKLUMAN BERKAITAN SATU KES KEMATIAN BUKAN DISEBABKAN OLEH COVID-19 DI HOSPITAL MIRI, SARAWAK

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin merujuk kepada pertanyaan daripada pihak 
wartawan media mengenai satu (1) kes kematian akibat jangkitan Coronavirus (COVID-19) 

pada 11 Mac 2020 di Hospital Miri. Adalah dimaklumkan bahawa kes kematian yang 
dilaporkan tersebut bukan disebabkan oleh COVID-19.

Untuk makluman, kes merupakan seorang remaja lelaki tempatan berumur 11 tahun dari Miri, Sarawak telah mendapat rawatan di Hospital Miri pada 8 Mac 2020 dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri pada hari yang sama. 

Kes telah mengalami demam panas, batuk, muntah dan sesak nafas sejak 5 Mac 2020.

 Kes tidak mempunyai sejarah melawat ke luar negara atau mempunyai sejarah kontak dengan kes COVID-19. 

Malah, keputusan makmal bagi ujian saringan jangkitan COVID-19 yang telah dijalankan sebanyak dua (2) kali ke atas kes iaitu pada 9 Mac 2020 dan 10 Mac 2020 juga 
didapati negatif. 

Kes disahkan meninggal dunia pada jam 5.45 pagi, 11 Mac 2020 di Hospital Miri dan disahkan akibat Severe Influenza A with multi organ failure. 

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin mengucapkan takziah kepada keluarga pesakit terbabit.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sekali lagi menegaskan bahawa setakat 12 Mac 2020, 
TIADA kes disahkan jangkitan COVID-19 di Sarawak. 

Orang ramai juga sentiasa diingatkan agar tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini. 

Maklumat terkini berkenaan perkembangan semasa kejadian COVID-19 boleh didapati daripada laman sesawang KKM; www.moh.gov.my atau berhubung dengan 
Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang terdekat atau secara terus kepada Pusat Tindak Cepat Krisis (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di alamat emel: 
cprc_sarawak@moh.gov.my atau di talian: 082-443248. 

Sekian, terima kasih. #Tamat#

DR CHIN ZIN HING
Pengarah
Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak
12 Mac 2020


LihatTutupKomentar
Cancel