Kerajaan Sarawak bayar lebih RM10.55 juta pampasan kepada 191 pemilik tanah

SIBU, 7 Mac -- Sebanyak 191 pemilik tanah yang terlibat dengan Projek Jalan Utama Kedua Pakej C2 bagi menaik taraf Jalan Tanjung Genting dari Simpang Tulai ke Jambatan Lanang di sini, menerima pampasan berjumlah RM10,552,295 daripada kerajaan Sarawak hari ini.


Penyampaian cek pampasan kepada penerima berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dalam majlis di sebuah hotel terkemuka di sini.

Projek tersebut melibatkan keluasan tanah 13.18622 hektar (32.583 ekar) merangkumi 65 bidang tanah berhakmilik akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.


Pakej itu merangkumi dua sub pakej yang dianggarkan sepanjang kira-kira 30km termasuk menaik taraf Jalan Kelupu-Jalan Tanjung Genting-Jambatan Lanang dari dua lorong kepada lebuh raya empat lorong .


Projek itu juga akan menyediakan jalan alternatif kepada rangkaian jalan pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo yang akan dapat melancarkan pergerakan dengan memendekkan masa dan jarak perjalanan dari Kuching ke Simanggang, Betong dan Sibu.

 
Awang Tengah berkata projek tersebut yang dibiayai sepenuhnya kerajaan Sarawak merupakan antara usaha untuk menyediakan kemudahan prasarana yang baik kepada rakyat terutama di luar bandar.


Beliau berkata pengambilan tanah berkenaan dilakukan mengikut undang-undang sedia ada di bawah Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.


Menurutnya, di bawah undang-undang itu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

“Pembayaran pampasan tanah membuktikan bahawa kerajaan tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu. Kerajaan membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan tanah dilakukan,” katanya.

Katanya, selain boleh menikmati kemudahan prasarana yang baik,  pembinaan projek itu nanti secara langsung akan meningkatkan lagi nilai tanah yang dimiliki rakyat di sepanjang kawasan projek.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel