Kerajaan Sarawak cadang Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda



KUCHING, 12 Mac-- Kerajaan Sarawak mencadangkan supaya Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda memandangkan tafsiran “Persekutuan” masih merujuk kepada persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata tafsiran berkenaan sepatutnya dipinda untuk merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebaik sahaja dipinda  (Perkara) 160 (2) (Perlembagaan Persekutuan), ini bermakna akan membolehkan MA63 dirujuk kepada kandungan perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kesediaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan mesyuarat dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu berkaitan MA63 dan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya kerajaan Sarawak akan memberi sokongan penuh sekiranya kerajaan Persekutuan bercadang untuk membentangkan semula rang undang-undang  pindaan bagi Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat. 

“Perbincangan sebelum ini bersama bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga akan diteruskan dengan Muhyiddin dan apa yang lebih penting, kita mahu memuktamadkan perkara ini,” kata Abang Johari.

Semalam Muhyiddin berkata mesyuarat bersama parti-parti dari Sabah dan Sarawak akan diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini cuba meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan pada 9 April tahun lepas tetapi gagal mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen daripada Sarawak dan pembangkang memilih untuk tidak mengundi.

Abang Johari sebelum ini berkata, Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi ketika itu kerana ia tidak memasukkan frasa “mengikut Perjanjian Malaysia 1963”.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel