'Geng Gemok Bendahara' ditahan polis

gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 12 Mac-- Lima lelaki dipercayai ahli ‘Geng Gemok Bendahara’ yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel dan bateri di sekitar kawasan Kota Tinggi berjaya ditahan sekitar ladang kelapa sawit di daerah itu, petang semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua yang ditahan dalam serbuan pada pukul 3 hingga 4 petang di kawasan kelapa sawit di Bukit Ampat dan Bukit Besar, Kota Tinggi, itu  merupakan warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 68 tahun.
“Kumpulan berkenaan yang dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak awal Ogos tahun lepas, dipercayai menggunakan modus operandi mencuri kabel dan bateri pencawang di kawasan pedalaman seperti kawasan kelapa sawit yang mempunyai pencawang tetapi tiada kawalan.

“Setiap kali kegiatan, mereka dianggarkan memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM2,500, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini. 

Ayob berkata kesemua ‘Geng Gemok Bendahara’ itu kini  ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959 (POCA).
 
Beliau berkata anggaran kerugian semua kabel dan bateri yang dicuri itu bernilai antara RM10,000 hingga RM15,000.

Jelas Ayob, pihaknya akan sentiasa melaksanakan pemantauan dan mengambil tindakan pencegahan di bawah POCA bagi mengawal aktiviti jenayah terancang.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 99 individu ditahan sepanjang Januari tahun ini sehingga semalam berkaitan POCA.

Katanya seramai 15 orang ditahan berkaitan jenayah kekerasan, jenayah harta benda (42), perjudian (36) dan kegiatan ‘Ah Long’  (6).

"Polis Johor akan terus melaksanakan, memantau dan mengambil tindakan pencegahan terhadap jenayah sindiket yang kita tidak mempunyai bukti kuat di mahkamah, kita tahan bawah POCA supaya kita boleh mengawal aktiviti jenayah terancang mereka,” katanya.

-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel