Kerajaan utamakan rakyat
KUCHING:Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia,Tan Sri Muhyiddin hari ini adalah satu pengumuman paling berani dan jelas menunjukkan betapa kerajaan
prihatin rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, dalam keadaan negara berdepan cabaran besar bukan sahaja penularan wabak COVID-19, malah ekonomi dunia yang kian merudum.
Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata,
ia adalah satu pengumuman sangat ditunggu-tunggukan oleh rakyat yang amat terkesan dengan penularan wabak COVID-19 dan langkah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak berkenaan.
"Ini terbukti dengan jumlah peruntukan paling besar iaitu RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, selain RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, manakala RM20 bilion telah diumum dalam pakej ransangan sebelum ini.
"Pakej yang diumumkan Perdana Menteri itu juga menyentuh dan menyantuni seluruh lapisan rakyat tanpa ada yang terpinggir, termasuk jauh di hulu dan pedalaman Sarawak dan Sabah, satu pendekatan yang jelas mendahulukan rakyat dalam mendepani cabaran besar yang dihadapi negara ketika ini,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,pakej itu bukan sahaja memanfaatkan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah atau B40, malah keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) seperti Bantuan Prihatin Nasional iaitu tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion, serta banyak lagi insentif lain termasuk pengecualian sewaan dan penangguhan bayaran yang pastinya akan membantu meringankan beban rakyat.
"Pengumuman bantuan RM500 untuk lebih 1.5 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah
termasuk yang bekerja secara kontrak dan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja, bagi memastikan tidak berlaku pembuangan pekerja serta tidak berlaku pemotongan gaji, yang akan memanfaatkan 3.3 juta orang menerusi peruntukan RM5.9 bilion pastinya amat melegakan.
"Begitu juga bantuan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang turut menerima kesan daripada COVID-19,"ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya turut berterimas kasih kepada Perdana Menteri kerana turut memasukkan projek kecil menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, membersih rumah ibadat dan balai polis dengan peruntukan RM2 bilion.
"Adalah diharapkan dengan adanya peruntukan berkenaan agihan projek akan dapat memanfaatkan kontraktor dari G1 hingga G4 serta pembekal dan pemberi perkhidmatan, sekaligus meningkatkan aliran tunai di pasaran, seterusnya menggerakkan ekonomi selepas negara berdepan cabaran getir COVID-19.
"Pelaburan dalam bidang infrastruktur itu juga pastinya akan memberikan kesan gandaan manfaat lapan kali ganda,"katanya.
Menurutnya lagi, begitu juga projek kecil RM2 bilion yang diumum dalam pakej sebelum ini termasuk projek infrastruktur di kawasan FELDA, projek membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak bernilai RM350 juta dan projek membaik pulih perumahan rakyat termiskin bernilai RM150 juta.
"Pengumuman Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri khususnya di Sabah dan Sarawak dalam memastikan bantuan yang disediakan sampai cepat ke rumah-rumah panjang dan penempatan orang asal yang jauh di pedalaman, pastinya akan memastikan rakyat di pedalaman yang turut terkesan akibat wabak berkenaan, akan menerima manfaat segera daripada pakej berkenaan.
"Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk seluruh lapisan rakyat bersama-sama berganding bahu berjuang melawan musuh yang tidak nampak pada pandangan mata iaitu COVID-19, dengan duduk di rumah, keluar rumah hanya jika benar-benar perlu, patuhi arahan penjarakkan sosial, membasuh tangan sekerap yang boleh dan sentiasa
mengutamakan kebersihan,"katanya.
Fadillah berkata,hanya dengan cara itu rantaian COVID-19 akan dapat dipatahkan dan negara akan dapat terus bergerak ke hadapan dengan pakej ransangan
berani yang telah diumumkan Perdana Menteri itu.
Gambar.
Antara sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh Pusat Khidmat P194 dalam usaha meringankan beban mereka yang terputus sumber pendapatan harian.
Saya berharap kita semua akan terus bersatu hati dalam menangani penularan wabak #COVID19 ini.