Kontak pesakit ke-33 dicari di Kuching
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri sedang mencari kontak yang pernah berhubung dengan pesakit pesakit ke-33 dilaporkan positif Covid-19 yang pernah berada di Kuching.
Pesakit tersebut kini dimasukkan di Hospital Sungai Buloh Selangor, Selasa lalu. Pesakit tersebut merupakan individu yang pernah berhubung dengan pesakit ke-26 yang disahkan positif wabak berkenaan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, pesakit ke-33 antara tujuh yang disahkan positif di Kuala Lumpur dan pernah berada di Kuching pada 16 hingga 17 Februari lalu.
“Jabatan Kesihatan akan mencari individu yang pernah dihubungi oleh pesakit ini untuk tempoh beberapa bulan lalu mengikut SOP ditetapkan.
"Kita tidak mengambil mudah walaupun pesakit itu tidak lagi berada di sini lebih daripada 14 hari," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kereta pelbagai guna kepada 26 Pihak Berkuasa Tempatan di MBKS, semalam.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan di negara ini setakat jam 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes itu adalah sebanyak 50 kes.
Menurut Hisham, kebanyakan kes baharu yang direkodkan itu dipercayai melibatkan kontak rapat kepada kes ke-26.
Kui Hian menasihatkan masyarakat tidak panik dan mengambil langkah pencegahan awal terutamanya apabila berada di tempat awam.
"Jangan dengar apa-apa khabar angin mengenai Covid-19 ini. Sarawak kini bebas Covid-19 kerana kita terus berusaha memastikan wabak ini tidak tersebar masuk ke dalam Sarawak,” katanya.