Lelaki khayal pandu lawan arah elak sekatan polis
SIBURAN: Aksi kejar mengejar pemandu yang melarikan diri dari sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi tumpuan di Jalan Kuching-Serian pada jam 4.30 petang tadi.
Lelaki dipercayai dibawah pengaruh dadah tersebut dikejar beberapa kereta peronda yang melakukan sekatan jalan ekoran melawan arus di Batu 11 Jalan Kuching-Serian.
Kenderaan dipandu suspek tiba-tiba terbabas setelah melanggar sebuah kenderaan jenis Viva di bulatan 13, Jalan Kuching Serian.
Suspek yang masih enggan menyerah diri cuba bertindak agresif namun akhirnya berjaya ditahan oleh polis.
Kejadian tersebut menarik perhatian menarik perhatian pemandu lain yang melalui jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, suspek berasal daripada Semenanjung dikepung berhampiran lampu isyarat Batu 12 Jalan Kuching-Serian serta bertindak melarikan diri dengan memandu secara melawan arus.
Katanya, kenderaan terbabit telah melanggar beberapa buah kenderaan peronda polis.
"Suspek melarikan diri sehingga hampir terlanggar salah seorang pegawai dan berlaku kejar mengejar dalam keadaan melawan arus trafik," katanya dalam kenyataan.
Suspek yang berjaya ditahan dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.
Turut dirampas kenderaan milik suspek serta sebuah bungkusan kecil dadah di bawah tempat pemandu hasil pemeriksaan polis didalam kereta terbabit, tambahnya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian 2020) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
