Masjid Darul Iman, Debak ditutup empat hari

BETONG: Tiada pengesahan mengenai jangkitan virus COVID-19 sebagaimana yang tular sejak semalam berlaku di Kampung Debak.

Ianya berikutan kes yang melibatkan jemaah Tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling Selangor dari 28 Februari hingga 1 Mac yang lalu.

Pada Khamis, penduduk digemparkan dengan satu laporan yang mengesahkan pembabitan jemaah Tabligh yang terdiri daripada 14 orang yang disyaki mengidap COVID-19.

Walau bagaimanapun laporan tersebut mengelirukan penduduk setempat sehingga timbul pelbagai prasangka yang menggemparkan seluruh kampung.

Kekeliruan ini adalah disebabkan tindakan penyebar berita yang kenyataannya tidak tepat dan tidak melalui sumber yang sahih dan tanpa kebenaran mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menimbulkan situasi cemas masyarakat.

Keadaan lebih membimbangkan apabila dikhabarkan Masjid Darul Iman Kampung Debak Laut ditutup bagi menempatkan Tabligh yang dikuarantin atau pengasingan jemaah terbabit.

Namun kenyataan dari sumber terdekat kesemua jemaah Tabligh terbabit dengan saringan COVID-19 adalah negatif namun perlu menjalankan kuarantin dirumah masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan kerana terlibat mengikuti perhimpunan.

Manakala penutupan Masjid Darul Iman selama empat hari ialah untuk tujuan membersihkan masjid terbabit setelah digunakan oleh jemaah terbabit untuk bermalam selain dijadikan tempat menjalankan saringan COVID-19.

Dalam pada itu sebarang maklumat yang disiarkan perlu pengesahan pihak berwajib dikhuatiri akan berlaku percanggahan maklumat sehingga menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan masyarakat sekeliling.

Difahamkan juga jemaah yang menghadiri Ijtimak Tabligh dalam kalangan masyarakat di kawasan Debak, Betong dan Spaoh yang terlibat telah menjalankan saringan dihospital dan pusat kesihatan yang terdekat dengan kawasan masing-masing.
LihatTutupKomentar
Cancel