Mayat lelaki hampir mereput ditemui berhampiran bangunan WBM
KUCHING: Mayat lelaki tanpa identiti ditemui hampir mereput di Taman Botani, berhampiran bangunan Wisma Bapa Malaysia (WBM), di sini, malam tadi.
Timbalan KPD Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada jam 10.45 malam.
"Bahagian Siasatan Jenayah(CID) Balai Polis Gita dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Ketika tiba di tempat kejadian mayat seorang lelaki yang hampir mereput ditemui,"katanya di sini hari ini.
Katanya,mayat terbabit tidak berbaju dan hanya memakai seluar jeans.
"Kita percaya mangsa sudah meninggal dalam tempoh dua hari ke atas berdasarkan keadaan mayat,"ujarnya.
Merbin berkata, tidak ada kesan yang mencurigakan ditemui pada mayat terbabit.
"Mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),"jelasnya.
Sehubungan itu,beliau meminta keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang tidak balik ke rumah membuat laporan di balai polis berdekatan.