Naib Presiden PKR Jugah Muyang Nafi Keluar Parti
LUBOK ANTU: Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang, hari ini menafikan beliau akan meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai mana-mana parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN).
Sejak seminggu lalu banyak khabar angin yang mengatakan beliau akan keluar parti dan menyertai PN.
"Saya ingin tegaskan bahawa semua spekulasi dan tuduhan ini tidak benar sama sekali. Saya tidak akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya tidak akan mengkhianati mandat yang telah diamanahkan dan terus setia dengan idealisme perjuangan parti di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita semua utuh, kekal dalam satu barisan dan harungi apa jua halangan serta rintangan, maka saya pasti kita akan dapat hadapi kemelut yang berlaku sekarang ini dengan jalan terbaik," katanya.
Beliau juga menegaskan akan bersama rakan-rakan lain dari PKR memberi sepenuh sokongan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.