NGO Pulau Pinang gesa kabinet baharu kaji semula PIP, PDP

GEORGE TOWN, 12 Mac  -- Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Citizen’s Awareness Chant Group (CHANT) menggesa Kabinet baharu untuk mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang dan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Penasihat CHANT Yan Lee berharap kajian semula itu akan dapat mengurangkan beberapa perbelanjaan untuk projek mega bernilai RM46 bilion itu yang melibatkan pembinaan terowong bawah laut menghubungkan pulau ke tanah besar, lebuh raya, transit aliran ringan (LRT), monorail dan rangkaian laluan bas di bahagian pulau dan Seberang Perai.


“Bekas menteri kewangan (Lim Guan Eng) telah membatalkan kontrak PDP untuk projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak yang menjimatkan berbilion ringgit.

“(Oleh itu), saya memohon Kabinet baharu ini sekiranya PIP dan PDP boleh dikaji semula dan diharapkan kita dapat menjimatkan berbilion ringgit juga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kajian semula itu bukan bertujuan menamatkan PIP tetapi untuk meminimumkan kos serta mencari alternatif yang akan memberi manfaat kepada negara.
Yan turut mencadangkan bahawa Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) atau transit aliran bas (BRT) boleh menyediakan pilihan lebih murah untuk LRT, seperti yang dicadangkan dalam PIP.
“Kita tidak perlukan pelan induk pengangkutan yang besar untuk penduduk sekitar 800,000 orang di Pulau Pinang,” katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel