NGO tidak dibenar hantar bantuan secara terus demi keselamatan - Ismail Sabri


PUTRAJAYA, 29 Mac -- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenar menghantar bantuan secara terus kepada penerima bagi mengelak mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas ketidakpuasan hati pihak NGO terhadap keputusan agar bantuan dihantar ke pusat pengumpulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Menteri Pertahanan itu berkata keputusan tersebut diambil setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan untuk menjaga keselamatan ahli NGO yang terlibat.

"Jika mereka hantar sendiri kepada penerima yang mereka sendiri tidak tahu penerima itu bersih daripada COVID-19 atau tidak, kita bimbang jika ada dalam kalangan NGO yang dijangkiti dan akhirnya merebak kepada ahli lain dan keluarga mereka.

"Walaupun mereka ingin menyumbang tetapi kita mesti jaga kepentingan kesihatan mereka dan nyawa mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedia mendengar pandangan NGO terbabit dan akan berbincang mengenai kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu itu.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel