COVID-19: 49 ditangkap ingkar PKP di Sarawak
KUCHING:Seramai 49 orang ditangkap kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui sekatan jalan raya mulai jam 8 malam tadi hingga jam 8 pagi ini di seluruh Sarawak setakat ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, daripada jumlah itu 45 yang ditangkap terdiri daripada lelaki manakala empat lagi adalah wanita.
"Bahagian Kuching mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 17 orang,Padawan (7), Sibu(7), Serian(5), Bintulu(5, Matu Daro(2),Meradong(2) dan masing -masing satu tangkapan di Kota Samarahan,Marudi, Lubok Antu dan Kanowit.
"Mereka ditangkap kerana tidak dapat memberi alasan yang sah untuk berada di jalanraya atau tempat awam sepanjang PKP dan terlibat dalam kegiatan perjudian,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,seramai 35 orang dari mereka telah dibebas dengan jamin polis setelah percakapan mereka dirakam.
"14 lagi direman selama empat hari kerana terlibat dalam perjudian dan sabung ayam di Kuching dan Padawan,"ujarnya.
Katanya,tangkapan dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan / Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020).
Kesemua suspek jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.