Pan Borneo diteruskan dengan kaedah konvensional


KUALA LUMPUR, 12 Mac -- Pembinaan jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo pada masa ini akan diteruskan menerusi kaedah konvensional seperti ditetapkan kerajaan terdahulu, setelah penamatan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) berkuat kuasa 20 Feb lepas, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan sekarang akan meneliti kaedah itu secara terperinci dengan mendapatkan taklimat lanjut bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut tempoh waktu berserta jaminan kualiti pembinaan.

“Saya hormati perubahan dibuat pentadbiran terdahulu, mungkin mereka ada pandangan dan asas mengenai keputusan berkenaan. Saya tidak dapat nak katakan jika bakal berlaku sebarang perubahan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Fadillah berkata pihaknya akan membuat penelitian kerana ada dua angka penjimatan yang dikeluarkan dua menteri Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Satu mengatakan RM3.1 bilion dan satu lagi RM2.8 bilion. Jadi angka penjimatan ini tidak berapa tepat, namun apa yang lebih penting adalah untuk kita lihat langkah seterusnya bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.


Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, sebelum ini menamatkan perjanjian PDP bagi projek Lebuhraya Pan Borneo, berkuat kuasa 20 Feb lepas. Susulan penamatan itu, kerajaan PH pada masa itu meneruskan projek lebuh raya berkenaan menerusi pendekatan konvensional yang dikatakan meraih penjimatan menjangkau RM3.1 bilion.

Bekas Menteri Kerja Raya Baru Bian pula dilaporkan berkata anggaran penjimatan projek Lebuhraya Pan Borneo susulan perubahan pendekatan itu adalah RM2.865 bilion.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Kanan berkata Kementerian Kerja Raya akan memberi fokus kepada sektor pembinaan bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan golongan isu rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

“Contohnya kumpulan sasaran seperti B40 ...kalau dalam industri pembinaan ada kontraktor kelas G1, G2, G3, kita akan lihat bagaimana memperluaskannya untuk lebih banyak projek dan dapat diberikan kepada mereka sama ada melalui cabutan undi atau proses sebut harga, dan sebagainya.

“Dalam industri pembinaan, setiap RM1 juta kita belanja, gandaannya adalah lapan kali ganda, bermakna satu kontrak akan memberi manfaat kepada konsultan, industri perkhidmatan yang lain dan sebagainya, jadi semua akan dapat menikmati,” katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel