PAS Sarawak sokong TPM dari Sarawak


KUCHING: Rakyat Sarawak mengharapkan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Ahli Parlimen dari Sarawak.

Ketua Penerangan Pas Sarawak Zharudin Narudin berkata, ia bagi memastikan semak dan imbang dasar Persekutuan.

Beliau berkata, komposisi kerusi Parlimen Sarawak kini tidak satu pertiga daripada jumlah keseluruhan.

"Maka agak sukar untuk Sarawak menegakkan haknya atau melindungi kepentingan negeri di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhiyyidin Yassin harus mempertimbangkan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak.

"Ia sebagai sebahagian daripada konsensus baru dalam Perikatan Nasional. Malah ia juga terpakai bagi Sabah," ujarnya.

Sebelum ini, bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof antara disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri kabinet kerajaan baharu yang bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.

Harian Metro melaporkan, lantikan terbabit berdasarkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada kerajaan gabungan Perikatan Nasional terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Umno, PAS dan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Muka baru yang turut dikatakan diberi tempat ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari, Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad.

Sumber berkata, pemimpin Umno yang masih mempunyai kes dibicarakan di mahkamah memberi ruang kepada muka baru terbabit.

“Kabinet baharu ini terdiri daripada pelbagai latar belakang parti. Difahamkan, ada permintaan supaya Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjaga Kementerian Pertahanan, manakala Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama diberi kepada PAS.

“Manakala Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan membarisi kabinet persekutuan. Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin disebut-sebut untuk memegang portfolio sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“Sebahagian besar ahli biro politik Umno akan membarisi kabinet baharu ini. Kita dengar juga Ahli Parlimen Pontian turut dikatakan mendapat tempat kali ini. Apapun, parti sudah mempunyai senarai untuk pertimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada Harian Metro.

Siapa yang akan membarisi kabinet Muhyiddin menjadi teka -teki dengan ramai pemerhati serta penganalisis mengandaikan pembentukan pasukan yang mantap berdasarkan pengalaman semua parti politik terbabit.
LihatTutupKomentar
Cancel