Petronas perlu baiki SOP RAPID Pengerang
KOTA TINGGI, 16 Mac -- Petronas diharap dapat mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan menambah baik Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) berikutan insiden kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), dekat sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berkata syarikat minyak dan gas negara itu juga perlu lebih kerap melaksanakan program-program kesedaran dan pendidikan awal berkaitan pengurusan bencana sekiranya berlaku bencana industri di PIC.
Beliau berkata dalam masa yang sama, tahap keselamatan pekerja mahupun penduduk sekitar perlu menjadi keutamaan dan dititikberatkan.
Menurutnya, beliau percaya penduduk setempat mula merasa panik dan bimbang akan keselamatan diri mereka memandangkan insiden kebakaran itu merupakan kali kedua berlaku, setelah yang pertama pada April tahun lepas.
“Kejadian seumpama ini perlu dielakkan memandangkan projek ini merupakan projek mega kerajaan yang menelan belanja berbilion ringgit dan menjadi tumpuan dunia.
“Dikhuatiri kejadian-kejadian sebegini akan menjejaskan keyakinan bakal pelabur dan pihak berkepentingan. Saya yakin dengan kewibawaan Petronas untuk menyelesaikan masalah ini dan menyeru semua pihak termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan sama-sama bergabung tenaga untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Kebakaran unit Diesel Hydro Treater di PIC malam tadi telah mengorbankan lima nyawa manakala seorang melecur 40 peratus. Seorang lagi terselamat.
-- Bernama