Pintu sempadan Sarawak- Brunei dibuka 12 jam sahaja mulai esok - Uggah

KUCHING, 27 Mac -- Pintu masuk sempadan antara Sarawak dan Brunei akan dibuka dari 6 pagi hingga 6 petang berkuat kuasa esok, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, keputusan itu adalah selaras dengan waktu penetapan operasi Jabatan Imigresen Brunei.

“Sebelum ini, waktu beroperasi adalah dari 6 pagi hingga 8 malam. Justeru itu, kita menyeru semua rakyat Sarawak supaya mematuhi arahan PKP,” katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa di sini.

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Sarawak-Brunei itu merangkumi Sungai Tujuh di daerah Miri, Tedungan dan Pandaruan di daerah Limbang dan Mengkalap di daerah Lawas.

Dalam perkembangan lain Uggah berkata, mesyuarat JBPN memutuskan untuk memindahkan pesakit bukan kes jangkitan COVID-19 dari Hospital Umum Sarawak (HUS), ke hospital-hospital kerajaan berdekatan, bagi memastikan mereka dapat terus mendapat perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.

Hospital berkenaan terletak di Serian iaitu kira-kira 56 kilometer (km) dari HUS, Hospital Bau (32km), dan Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan (17km).

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pihak hospital swasta mengenai perkara itu, sekiranya perlu memindahkan pesakit ke hospital mereka,” katanya.

Uggah berkata, kerajaan negeri juga mahu memastikan stesen kuarantin bagi individu dalam siasatan (PUI), mencukupi di seluruh Sarawak.

Individu PUI akan ditempatkan di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kolej Kesihatan Awam Sarawak, dan Kompleks Belia dan Sukan, di Kuching.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel