Polis selamatkan 1,880 ekor burung murai


JOHOR BAHRU, 7 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Pengerang   menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1,880 ekor burung murai batu dan murai kampung selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di kawasan pesisir pantai Tanjung Merak, Pengerang dekat Kota Tinggi, malam tadi.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Abdul Rahman Mohamad berkata serbuan dan penahanan terhadap lelaki tempatan berumur 40-an itu dilakukan sepasukan Unit Risik PPM Wilayah Dua, pada 10.30 malam itu  selepas bertindak atas maklumat berkaitan kegiatan itu.


“Ketika ditahan, lelaki tersebut sedang memunggah bakul-bakul berisi unggas terbabit yang dipercayai untuk dibawa ke negara jiran.

Pemeriksaan menemui 100 ekor burung murai batu dan 1,780 ekor burung murai kampung di dalam bakul-bakul terbabit, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM333,600,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 60 (1a) Akta Pemuliharaan Kehidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
 

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 3,315 ekor murai batu, murai kampung dan “ring necked parakeet” bernilai RM1.316 juta dirampas pihaknya sejak Januari  lepas hingga malam tadi.

Menurutnya, masing-masing melibatkan 817 ekor murai batu yang dianggarkan bernilai RM980,400; murai kampung sebanyak 2,497 ekor dianggarkan bernilai RM333,240 serta seekor burung “ring necked parakeet” dianggarkan bernilai RM3,000.

Lima individu tempatan berumur antara 30-an dan 41 tahun turut ditahan dalam tempoh itu selain tiga kenderaan disita, katanya.

-- Bernama

Gambar FB polis marin wilayah 2
LihatTutupKomentar
Cancel