Saman malu : Chong minta maaf



KUCHING : Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chen Jen mencapai persetujuan untuk menyelesaikan isu saman antara mereka di luar mahkamah hari ini.

Kes saman fitnah difailkan oleh Wan Junaidi terhadap Chong yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu selesai apabila beliau bersetuju menerima permohonan maaf dengan bersyarat daripada Ahli Parlimen Stampin berkenaan.

Chong telah menarik semula kenyataannya sebelum ini yang melabelkan Wan Junaidi sebagai `hipokrit’ pada 31 Mac 2019.

Beliau membacakan kenyataan maaf itu di hadapan Wan Junaidi pada jam 10.30 pagi di Mahkamah Tinggi Kuching.

Dalam kenyataan dibacanya, Chong telah menyatakan rasa kesal dan menarik semula kenyataannya sebelum ini, selain mengakui Wan Junaidi merupakan seorang terhormat dan berintergriti.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Lim Hock Leng telah merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes tersebut.

Sementara itu, Wan Junaidi ketika ditemui memberitahu, Chong ada menghubunginya disusuli pesanan melalui whatsapp meminta mengadakan rundingan dengannya mengenai kes saman tersebut.

“YB Chong ada telefon lepas tu disusul dengan whatsapp supaya kita berunding saja perkara ni.

“Jadi semalam saya terus whatsapp dengan Wilfred memaklumkan saya bersetuju dengan syarat dan akhirnya pagi tadi, semasa di mahkamah dan berbincang dengan peguam, Chong bersetuju mengeluarkan kenyataan maaf untuk penyelesaian kes,” katanya.

Menurut Wan Junaidi, beliau setuju menerima permohonan maaf itu kerana tuntutan ganti rugi bukan matlamat dan tujuan asalnya menyaman Chong.

Beliau turut mengingatkan ahli politik bahawa diberikan kebebasan dan kebolehan bersuara bukannya tiket untuk menabur kata-kata kesat dan tidak baik kepada kawan atau lawan dalam politik.

LihatTutupKomentar

1 Komentar

Cancel