Sarawak arah tangguh semua perhimpunan libatkan lebih 50 orang
KUCHING, 15 Mac -- Semua perhimpunan kerajaan dan awam melibatkan lebih 50 orang di Sarawak perlu ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia merupakan dasar terkini Sarawak dalam menangani wabak COVID-19.
“Tindakan itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha dan langkah untuk mengurangkan penyebaran COVID-19," jelasnya.
Untuk rekod, Sarawak hari ini mencatatkan 11 kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20 kes sejak Jumaat lepas apabila tiga kes pertama dilaporkan.
-- Bernama