Sarawak guna helikopter hantar makanan penduduk pedalaman terjejas, Abang Jo
KUCHING, 28 Mac -- Kerajaan negeri Sarawak akan mendapatkan khidmat tentera, bomba dan beberapa agensi kerajaan termasuk penggunaan helikopter untuk menghantar bekalan makanan ke pusat jualan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penghantaran bekalan makanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman menghadapi kesukaran logistik susulan tempoh lanjut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.
Justeru, katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk proses penghantaran dengan kos penggunaan helikopter ditanggung oleh kerajaan negeri.
Beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan sentiasa ada dan mencukupi sepanjang tempoh PKP.
“Makanan asas seperti beras, garam, gula, tepung gandum serta minyak masak semuanya cukup dan saya menggalakkan pasar raya di Sarawak supaya mempunyai stok sehingga sebulan bagi memudahkan orang ramai membeli barang keperluan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi.
Abang Johari juga mengumumkan peruntukan dana tambahan berjumlah RM16.4 juta khas bagi membantu penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman dalam menghadapi PKP ini.
“Dana ini akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan akan memberi fokus kepada golongan miskin, mereka yang tidak dapat melakukan kerja harian dan tiada punca pendapatan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
-- Bernama
