LHDNM ditutup 18 hingga 31 Mac 2020


KUALA LUMPUR, 17 Mac -- Selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa semua premis LHDNM di seluruh negara akan ditutup untuk tempoh yang sama.

Sungguhpun begitu, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan percukaian yang ditawarkan, LHDNM akan terus menyediakan perkhidmatan berikut untuk kemudahan pelanggan kami:

a) Perkhidmatan dalam talian menerusi platform ezHASiL;
b) Pusat Khidmat Panggilan atau Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara);
c) HASiL Live Chat; dan
d) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi LHDNM.

Bagi tujuan pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan pembayaran baki cukai, pembayar cukai disaran menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL.

Sehubungan itu, bagi memudahkan urusan percukaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, LHDNM bersetuju untuk melaksanakan beberapa langkah seperti berikut:

i. Permohonan Nombor PIN Individu melalui telefon
Pembayar cukai yang baru pertama kali ingin mengemukakan BNCP melalui e-Filing boleh memohon nombor PIN e-Filing tersebut dengan menghubungi HCL. LHDNM akan melayani permohonan tersebut berdasarkan Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan.

ii. Permohonan Nombor PIN Sijil Digital Pentadbir / Sijil Digital Organisasi
Pembayar cukai boleh membuat permohonan melalui Borang Maklum Balas di Portal Rasmi LHDNM  dan melampirkan dokumen-dokumen yang berkaitan. Pautan Borang Maklum Balas dan senarai dokumen yang perlu dilampirkan adalah seperti di bawah:
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-MY/
https://ez.hasil.gov.my/CI/Bantuan_Anon.aspx.

iii. Terlupa Kata Laluan
Set semula kata laluan boleh dibuat melalui e-mel atau nombor telefon berdaftar dengan LHDNM. Sila layari portal ezHASiL dan klik menu Terlupa Kata Laluan.

Pembayar cukai yang mempunyai sebarang masalah berhubung isu-isu percukaian khususnya berkaitan pengisian dan pengemukaan BNCP boleh membuat pertanyaan melalui panggilan ke HCL atau melalui e-mel kepada Customer Care Officer (CCO) di semua cawangan atau boleh menggunakan perkhidmatan HASiL Live Chat yang disediakan di portal rasmi LHDNM. Manakala bagi urusan Bantuan Sara Hidup (BSH) pula, orang ramai boleh menghubungi talian Hotline BSH iaitu 1-800-88-2747 atau layari portal rasmi BSH di https://bsh.hasil.gov.my.

Selain itu, pembayar cukai bermastautin yang tidak mempunyai punca pendapatan perniagaan juga boleh mengemukakan Borang BE (m-BE) melalui aplikasi mobile filing atau m-Filing yang boleh dicapai menerusi peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet. Aplikasi ini boleh dicapai di pautan https://mfiling.hasil.gov.my/Home/Login. Video tatacara penggunaan m-Filing ini boleh didapati di laman Facebook LHDNM atau menerusi capaian pantas seperti berikut: https://www.facebook.com/181293031939653/videos/143289270327368/.

Pemfailan BNCP yang tarikh akhirnya jatuh antara Mac 2020 hingga Jun 2020 diberikan lanjutan masa 2 bulan. Semakan tarikh akhir dan tambahan masa pengemukaan BNCP yang terperinci boleh dibuat melalui pautan pantas seperti berikut:
http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.1_1.pdf

Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh LHDNM akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 17 Mac 2020

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel: 03-8313 8888 samb. 21658/21666/21965/21674/21663
Faks: 03-8313 7873
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my

--Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel