Sindiket perdaya wanita untuk pelacuran tumpas




BALIK PULAU, 17 Mac -- Polis menahan 19 individu dan berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang berpura-pura menawarkan pekerjaan kepada wanita tetapi sebenarnya menjadikan mereka sebagai pelacur, dalam beberapa siri serbuan sekitar Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden A.A Anbalagan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan sindiket itu daripada dua wanita berusia 24 dan 36 tahun yang menjadi mangsa sebelum melakukan risikan serta intipan bagi mengesan suspek yang terlibat.

"Berikutan itu pada awal bulan Februari, polis menyerbu sebuah rumah mewah di kawasan Batu Maung dan berjaya menyelamatkan dua lagi wanita tempatan berusia 21 dan 25 tahun yang menjadi mangsa sindiket tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata polis kemudian melakukan beberapa serbuan di negeri itu sejak awal Februari hingga Khamis lepas dan menahan sembilan lelaki serta 10 wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya suspek yang berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun mempunyai peranan masing-masing, antaranya 10 wanita terbabit akan mencari mangsa dalam kalangan rakan atau mereka yang mencari kerja dengan menawarkan pekerjaan di premis barang lusuh dengan gaji lumayan.

Anbalagan berkata berdasarkan siasatan, sindiket yang beroperasi sejak 2018 itu kemudian akan mengarahkan mangsa bekerja di premis barang lusuh milik ketuanya tanpa gaji dan mereka akan dikurung di sebuah rumah mewah dipercayai disewa suspek.

"Rumah itu dikawal ketat oleh ahli-ahli sindiket berkenaan dan siasatan juga mendapati empat mangsa yang berjaya diselamatkan polis telah didera serta dicederakan secara fizikal dan seksual sepanjang berada di bawah kawalan mereka," katanya.

Beliau berkata selain itu, mangsa juga telah dieksploitasi secara paksaan untuk menjadi pelacur di sekitar Pulau Pinang, Melaka dan Johor tanpa sebarang habuan atau ganjaran.

"Mangsa akan dibawa ke negeri-negeri itu untuk menjadi pelacur dalam tempoh dua hingga tiga bulan sebelum dibawa balik semula ke rumah sewa di Batu Maung, dan dua wanita yang diarah menjadi pelacur di Johor berjaya melarikan diri sebelum melaporkan kepada polis kegiatan sindiket itu," katanya.

Anbalagan berkata ketua sindiket itu dipercayai mampu mengaut keuntungan berpuluh-puluh ribu ringgit setiap bulan hasil kegiatan jenayahnya dan susulan penahanan 19 individu, termasuk ketuanya, polis merampas tiga kenderaan mewah, antaranya BMW dan Toyota Estima.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel