Sindiket beli dadah guna Wechat
MIRI: Beli dadah guna aplikasi Wechat. Demikian modus operandi digunakan tiga individu yang ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Lee Tak hari ini.
Suspek dipercayai membeli dasdah melalui aplikasi 'Wechat' sebelum menjualnya di pusat-pusat hiburan di sekitar Miri.
Seorang lelaki dan dua wanita ditahan dalam serbuan tersebut berusia antara 18 hingga 34 tahun.
Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut selepas penemuan dadah yang dianggarkan bernilai RM2,300.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah dalam kenyataan berkata, pihaknya melakukan serbuan di sebuah bilik hotel pada kira-kira jam 12 tengah hari dan melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki warga Indonesia serta dua wanita tempatan.
"Pemeriksaan menjumpai beg sling warna coklat di atas lantai yang mengandungi satu paket plastik warna coklat dan dua paket plastik warna putih berisi dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 113.83 gram.
"Turut ditemui, 10 biji pil warna merah jambu dadah jenis ekstasi (3.51 gram) dan tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal dadah jenis Ketamine (2.00 gram)," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.