Wanita maut kereta dihempap lori balak
BUKIT MERTAJAM, 3 Mac -- Seorang pemandu sebuah kereta maut selepas kenderaan wanita itu dihempap sebuah lori membawa muatan kayu balak yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Bukit Teh-Machang Bubok, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.55 petang itu, Ong Yean Leng, 37, yang berasal dari Machang Bubok, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, selepas tersepit di dalam keretanya yang terperosok ke dalam longkang di kanan jalan selepas dihempap lori itu.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Syukri Abdul Rahman berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dan Sungai Bakap bergegas ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan pada pukul 3.58 petang.
Katanya sebaik tiba, pihaknya mendapati sebuah lori membawa muatan kayu balak terbalik dan menghempap sebuah kereta serta terdapat wanita yang tersepit akibat dihempap oleh lori itu.
"Pihak bomba dengan bantuan kren mengambil masa hampir empat jam untuk mengeluarkan mayat itu sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat," katanya.
-- Bernama
Kredit gambar Penang Kini