Sudah-sudah la Petronas, Karim
KUCHING,13 Mac: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meminta Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak membuat rayuan ke atas keputusan mahkamah hari ini yang memihak kerajaan Sarawak bagi mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap syarikat minyak itu.
"Harapan kita adalah Petronas tak perlu lah membuat rayuan, sekarang keadaannya sudah diputuskan oleh mahkamah, nak bawa ini sampai atas-atas lagi buat apa, bayar sahaja cukai jualan itu dan semua orang gembira,"katanya pada sidang media penangguhan acara Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Karim berkata jumlah cukai jualan terbabit sebanyak 5 peratus yang perlu dibayar Petronas kepada kerajaan Sarawak juga tidaklah terlalu banyak jumlahnya kerana keseluruhan cukai terbabit perlu dibayar semua syarikat minyak beroperasi di negeri ini ialah sekitar RM3 bilion dan Petronas hanya membayar sebahagian sahaja dari jumlah itu atau sekitar RM1 bilion atau RM2 bilion sahaja.
"Semua (syarikat minyak lain) sudah membayarnya (SST 5 peratus), hanya Petronas sahaja yang belum lagi ,"katanya dan pembayaran cukai terbabit akan membantu Sarawak membiayai pembangunannya.
Karim mengulas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petronas untuk semakan kehakiman bagi mengisytiharkan Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak sebagai batal dan tidak sah.
Hakim Azhahari Kamal Ramli turut mengarahkan kos sebanyak RM50,000 dibayar kepada responden, iaitu Pengawal Cukai Jualan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Dalam penghakimannya, Azhahari Kamal berkata, tidak ada alasan bagi mahkamah untuk membuat pengisytiharan tersebut memandangkan Perkara 95B(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Sabah dan Sarawak juga boleh membuat undang-undang bagi mengenakan cukai jualan, dan apa-apa cukai jualan yang dikenakan di kedua-dua negeri hendaklah disifatkan sebagai antara perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.
keterangan gambar:
1.Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) ketika mengadakan sidang media penangguhan acara Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.