Tiga ditangkap berjudi online
KUCHING:Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak memberkas tiga lelaki tempatan termasuk seorang penjaga kaunter wanita warganegara Indonesia dalam Ops Bersepadu judi atas talian
bertempat di Matang Family Cafe, Jalan Matang,di sini,petang semalam.
Dalam operasi jam 5.45 petang itu, kesemua mereka berusia 18 hingga 61 tahun berada di dalam premis terbabit ketika serbuan dilakukan.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, mereka memberi alasan keluar rumah kerana mahu membeli barang, tetapi singgah di premis itu melayan judi atas talian.
"Pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa barang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan judi atas talian.
"Kesemua suspek gagal memberikan alasan yang munasabah keberadaan mereka dipremis terbabit,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,pihak polis turut merampas seunit telefon pintar jenama Handy, dua unit telefon pintar jenama Oppo, seunit telefon pintar jenama Huawei dan satu beg sandang yang digunakan untuk aktiviti perjudian.
"Tangkapan kesemua suspek dilakukan di bawah Perkara 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian 2020) dan Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka(ARJT) 1953.
"Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Batu 10 untuk tindakan lanjut dan ditahan reman mulai hari ini,"katanya.