Warga emas maut kemalangan
KUCHING:Seorang lelaki warga emas maut setelah motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan dengan Toyota Avanza di Jalan Nanas, di sini, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata,dalam kejadian jam 3.00 petang itu, mangsa Tan Wee Tee @ Tan Qui Tee, 72, beralamat di Jalan Nanas Barat, Ever Green Garden, Kuching, luka di tangan kanan serta tangan kiri dan bahagian dada dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk mendapat rawatan.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia jam 2.35 pagi tadi akibat kecederaan serius hati dan usus ketika menjalani pembedahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kemalangan berlaku semasa pemandu MPV wanita berusia 54 tahun
bergerak dari arah Jalan Green menuju ke arah lampu isyarat Jalan Badruddin.
"Semasa melalui Lorong 4, Jalan Nanas, tiba-tiba seorang penunggang motosikal Honda yang berada di hadapan kenderaan MPV membelok ke simpang sebelah kiri secara mengejut tanpa memberi isyarat,"ujarnya.
Beliau berkata, ini menyebabkan pemandu kenderaan MPV tersebut melanggar pada bahagian sisi depan kiri motosikal.
"Penunggang motosikal kemudiannya dibawa HUS untuk mendapat rawatan manakala pemandu kenderaan MPV tidak mengalami sebarang kecederaan,"katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
