1 kematian, 22 kes positif COVID-19
KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan seorang lagi kes kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah 15 kes.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Douglas Uggah berkata, mangsa ke-15 kes kematian adalah seorang lelaki berumur 69 tahun.
Menurutnya, kes telah mula sakit pada 3 April dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 6 April.
"Keputusan sampel kes pada 7 April adalah positif untuk COVID-19.
"Kes mempunyai co-morbid dan telah meninggal dunia pada 21 April jam 2.28 pagi," katanya pada sidang media hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, kes tidak mempunyai sejarah kontak kepada mana-mana kes positif COVID-19 yang dikenalpasti setakat ini.
Beliau berkata, sebanyak 22 lagi kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 436 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac.
Menurutnya, kesemua 22 kes tersebut dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Katanya, sebanyak 190 kes baharu Person Under Investigation (PUI) dilaporkan dan 191 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.
"Pada hari ini terdapat (20) lagi kes positif telah sembuh dan telah discaj dari hospital menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 88," ujarnya.