Pelajar Sarawak terkandas terharu terima sumbangan



KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Empat penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, Melaka dan berasal dari Sarawak yang terkandas di negeri ini sejak sebulan lalu, melahirkan rasa terharu terhadap keprihatinan ramai pihak kepada mereka.

Kesemua pelajar itu Lika Doris Guang, 24; Dally Angkang Joseph, 25; Siti Noraziera Ramlee, 24; dan Betty Bulan Amrose, 24; tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghulurkan bantuan, terutama barangan keperluan asas.

"Alhamdulillah sejak ditempatkan di IKTBN Bachok ini, kami dilayan sangat baik oleh pengurusan di sini, termasuk mereka yang datang untuk menghulurkan bantuan. Kami rasa terharu sangat," kata Siti Noraziera ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, keempat-empat pelajar itu dikunjungi Naib Ketua Puteri UMNO Nurul Amal Mohd Fauzi, bagi memberikan sokongan moral dan menghulurkan bantuan keperluan asas kepada mereka.

Keempat-empat pelajar itu telah berada di Jelawat, Bachok sejak 19 Mac lalu, iaitu hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk perjalanan itu.

Mereka sebelum ini mengambil keputusan untuk ke rumah rakan kolej, Siti Afifah Aina Shukri, 23, di Kampung Bator, Jelawat, memandangkan ketika itu adalah cuti semester selama seminggu dan tiket untuk pulang ke Sarawak, memerlukan kos yang agak tinggi.

Namun mereka tidak menyangka sama sekali PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini, dan menyebabkan mereka terpaksa menumpang lama di rumah rakan.

Memikirkan wang saku semakin berkurangan, mereka terpaksa melaporkan kedudukan mereka kepada Presiden Alumni Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) Samsudin Oli Mohamed, yang kemudiannya bertindak membantu menempatkan mereka di institut itu sejak tiga hari lepas.

Bagi Betty Bulan, walaupun keadaan semakin baik buat mereka namun mereka reda dengan PKP ketika ini, yang tidak membolehkan mereka untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di Sarawak.

"Cuma rindu kepada keluarga dan mungkin apa yang berlaku ini ada hikmahnya, walaupun rindu kepada keluarga kerana tidak lama lagi sambutan Hari Gawai," katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel