2,500 individu kontak rapat pesakit Covid-19 belum jalani saringan-Uggah
KUCHING, 20 April (Bernama) -- Sejumlah 2,500 individu yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 di bandar raya ini belum tampil membuat saringan, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata sebuah pasukan khas yang diketuai bekas Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Jamilah Hashim ditubuhkan bagi mengatasi masalah itu.
“Mulai pagi ini pasukan petugas menghubungi mereka dan menggesa mereka untuk tampil melakukan saringan ,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Uggah berkata pihaknya terpaksa mengubah semula keputusan berhubung penempatan rakyat Sarawak yang pulang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang sebelum ini dikehendaki menjalani kuarantin 14 hari di rumah.
Ini berikutan, katanya, terdapat kes positif dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan kes positif dari Kuching dan Miri yang baru balik dari luar negara dan Kuala Lumpur.
“Semua rakyat Sarawak yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin selama 14 hari, di destinasi mereka tiba iaitu (sama ada) Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri dan bukannya mengkuarantinkan diri di rumah seperti arahan sebelum ini.
Mereka akan diambil sampel (ujian) pada hari ketujuh dan sekiranya keputusan negatif, mereka akan dibenarkan pulang dan menyambung semula kuarantin di rumah sehingga habis 14 hari,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah mendedahkan pihaknya ada menerima aduan daripada rakyat Sarawak yang menetap di Semenanjung mengenai kesukaran dalam meneruskan kehidupan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ada beberapa kes antaranya hilang pekerjaan, tidak dapat bayar sewa rumah, dan mereka yang mempunyai masalah boleh merujuk kepada ‘Rumah Sarawak’ dan berhubung dengan Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak serta Menteri Kanan merangkap Menteri Kerja Raya,” katanya.
- Bernama