27 wanita hamil dibawa pulang dari Singapura
SINGAPURA, 21 April (Bernama) -- Seramai 38 rakyat Malaysia termasuk 27 wanita hamil dibawa pulang menaiki bas hari ini dari Singapura melalui Tambak Johor.
Ia adalah penghantaran kedua, dengan yang pertama diuruskan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura untuk membantu 70 wanita rakyat Malaysia yang hamil pulang ke tanah air.
Perhatian khusus diberikan untuk kumpulan itu terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan langkah Pemutus Litar di Singapura yang menyaksikan sekatan perjalanan rentas sempadan.
Menurut Setiausaha Agung St John Ambulans Malaysia, Hoo We Tak, pada 10 pagi tadi, kumpulan itu menaiki sebuah bas di Kranji MRT.
“Untuk memastikan amalan jarakan sosial, dua perjalanan diatur dengan 19 penumpang bagi setiap bas,” kata Hoo.
Melalui koordinasi pertubuhan St John Ambulans di Singapura dan Malaysia, Hoo berkata seramai enam anggota dan sebuah ambulans dari St John Singapore Responder Unit bertugas menawarkan bantuan serta mengiringi kumpulan itu.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Johor Bahru, Andrew Chen kemudian membuat urusan dengan syarikat bas Causeway Link untuk menyediakan bas bagi kesemua wanita hamil berkenaan.
-- Bernama