Sepasang kekasih langgar PKP didenda RM1,000

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Sepasang kekasih didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar rumah atas alasan membeli barang keperluan kucing. 

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap kedua-dua tertuduh berumur 24 tahun yang ditahan semalam semasa sekatan jalan raya di sini.

Seorang lagi lelaki dikenakan hukuman penjara sebulan kerana melanggar PKP selepas ditahan polis ketika keluar dari rumah di sini pada pukul 11.00 malam 13 April lepas.

Mahkamah juga mengenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan terhadap tiga warganegara Pakistan dan dua warganegara Yaman atas kesalahan sama.

Seorang warganegara Bangladesh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan kerana melanggar PKP dan juga penjara setahun kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah ketika pemeriksaan dilakukan di sekatan jalan raya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
 
Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Di mahkamah berasingan, Hakim Yong Zarida Sazali mengenakan hukuman penjara setahun ke atas 43 warganegara Indonesia dan Bangladesh kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah ketika ditahan semasa sekatan jalan raya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi dan Siti Hajar Mohd Ashif. 
- Bernama


LihatTutupKomentar
Cancel