41 pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum sembuh daripada COVID-19
KUALA LUMPUR:Seramai 41 pesakit positif COVID-19 daripada kalangan pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling telah selamat sembuh dan di discaj dari wad di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata,mereka merupakan sebahagian daripada pesakit positif COVID -19 daripada kluster tabligh yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan dimasukkan ke HCTM pada 2 April lalu.
"Pelajar terbabit adalah pelajar lelaki berumur dari 14 hingga 29 tahun. Mereka telah terdedah kepada COVID-19 samada ketika menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada awal Mac 2020 dan juga daripada persekitaran masjid selepas perhimpunan.
"Kesemua mereka tidak mengalami sebarang simptom dan dua ujian swab saringan awal pada pertengahan Mac dan pada 24 Mac adalah negatif,"katanya dalam satu kenyataan di laman facebooknya.
Noor Hisham berkata, mereka telah dikuarantin di Institut Sosial Malaysia dan pada 2 April, keputusan ujian swab ketiga yang diambil pada 30 Mac adalah positif COVID-19.
"Para pelajar seterusnya dimasukkan ke HCTM bagi rawatan lanjut. Rawatan di HCTM berjalan lancar dan hanya seorang daripada mereka mengalami simpton batuk pada 5 April 2020 dan diberikan rawatan Hydrochloroquine.
"Kesemua mereka telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada hari ini,"ujarnya.
Beliau berkata,daripada aspek perubatan, saringan untuk diagnosis dan rawatan awal amatlah penting bagi memastikan pesakit positif COVID -19 berpeluang sembuh sepenuhnya.
"Kumpulan pelajar ini merupakan pesakit pada usia muda. Justeru, proses penyembuhan dan prognosis mereka adalah lebih baik berbanding pesakit yang berusia ataupun yang menghidap penyakit kronik lain seperti hipertensi atau kencing manis.
"Bagaimanapun, mendapatkan rawatan di peringkat awal semasa di tahap satu sehingga tiga adalah amat penting,"katanya.