Bot bawa barang runcit karam
TAWAU: Sebuah bot jongkong yang sarat dengan muatan barangan runcit untuk keperluan di bulan Ramadan karam di kawasan muara Sungai Pukol, Pulau Sebatik, di sini pada lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) zon Tawau yang sedang melakukan rondaan cegah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), mengesan sebuah bot jongkong di kawasan berkenaan yang hampir tenggelam keseluruhannya.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, sebaik mendekati bot itu, pihaknya mengesan dua lelaki lingkungan umur 35 dan 40 tahun sedang terapung bersama beberapa barangan runcit.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum kejadian, telah bergerak dari jeti Log Pond Tanjung Batu Laut hendak menuju ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik.
"Salah seorang mangsa menjelaskan dalam keadaan cuaca buruk dan laut bergelora, secara tiba-tiba enjin bot jongkong mereka mengalami kerosakan dan tidak dapat dihidupkan.
"Malah pam mudah alih juga tidak dapat berfungsi bagi mengepam air keluar dari bot menyebabkan air laut masuk dengan cepat dan tidak dapat diselamatkan sehingga bot itu karam," katanya.
Jelas Siva Kumar mangsa yang terdiri dari rakyat tempatan dan seorang warganegara Indonesia itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh APMM.
Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan dihantar ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik pada jam 8.30 malam sebaik cuaca kembali tenang.
Setakat ini, katanya jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM90,000 termasuk bot jongkong, dua unit enjin bot serta barangan runcit.
Dalam pada itu, Siva Kumar turut memberi amaran kepada anggota APMM Tawau yang bertugas serta pengguna jalan laut agar berhati-hati memandangkan ketika ini perairan Tawau menghadapi fasa peralihan angin Monsun sehingga lewat bulam Mei 2020 yang mampu menghasilkan keadaan ribut petir.