Budak lelaki 4 tahun rentung dalam kebakaran rumah
MERSING, 22 April (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung, manakala 17 yang lain terselamat dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Bukit Pasir, Kampung Bukit Pasir, Endau, di sini, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah jam 9.19 malam tadi.
Katanya, sebuah jentera 'Light Fire Rescue Tender' (LFRT), sebuah jentera pemadam (FRT), sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Hilux dari BBP Endau dan dibantu BBP Mersing dengan kekuatan 21 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran di bahagian tingkat atas rumah jenis dua tingkat dan mayat dipercayai Mohammad Faris Sohari, 4, ditemui rentung (di bahagian tangga tingkat bawah) jam 11.07 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Mangsa lain (yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mangsa) berusia antara satu hingga 65 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba,” katanya, dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Alias berkata operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.09 awal pagi tadi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
-- Bernama