Semua penumpang MAS wajib pakai topeng


KUALA LUMPUR, 22 April -- Semua penumpang Malaysia Airlines kini dikehendaki untuk membawa dan memakai topeng muka mereka sendiri berkuat kuasa 23 April, 2020, di lokasi seperti daftar masuk, menaiki kapal terbang, di kabin pesawat, pengeluaran dan pengambilan bagasi semasa ketibaan untuk mengurangkan penularan COVID-19.

Keperluan ini terpakai kepada semua penumpang (tidak termasuk bayi) yang melakukan perjalanan dalam semua penerbangan domestik, antarabangsa dan sewa khas Malaysia Airlines, untuk memastikan keselesaan dan kesejahteraan setiap penumpang dan petugas syarikat penerbangan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Malaysia Airlines tidak akan menerima penumpang yang tidak mempunyai/memakai topeng muka semasa mendaftar masuk dan menaiki pesawat, katanya.

“Bagi keselesaan penumpang, terutamanya dalam penerbangan jarak jauh, anda dinasihatkan untuk membawa topeng muka tambahan dan cecair pembasmi kuman tangan untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Penumpang turut diingatkan untuk menghormati ruang peribadi orang lain dan memerhatikan jarak sosial jika diperlukan serta mematuhi langkah-langkah keselamatan lain dalam proses sebelum berlepas dan ketibaan untuk memastikan anda mendapat perjalanan yang selamat. 

Keselamatan penumpang dan kakitangannya amat penting kepada Malaysia Airlines. 

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel