Cadang hotel bajet pusat kuarantin
BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu juga bercadang menggunakan mana-mana hotel bajet sebagai pusat kuarantin bagi memastikan pesakit ditempatkan secara berasingan di dalam bilik.
Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom bagaimanapun berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dan hanya akan diguna setelah mendapat persetujuan pemilik hotel.
"Institut Kemahiran Mara Cawangan Bintulu dan ADTEC Bintulu dikenal pasti akan dijadikan sebagai pusat kuarantin pesakit," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu dan Taklimat Covid-19, semalam.
Bintulu merekodkan lima kes positif Covid-19, dengan 12 orang dikuarantin di Taman Negara Similajau.
Rundi berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyelaraskan pengagihan bantuan kepada rakyat di kawasan Bintulu.
"Badan Bukan Kerajaan mesti melalui JKM untuk mengedar makanan dan bantuan kepada mereka yang terjejas.
"Terdapat saranan untuk menggunakan JKKK dan ketua rumah panjang tetapi JKM akan bertanggungjawab menyelaras pengagihan," jelasnya.