Hanya dua dalam kereta pergi kebun
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengumumkan hanya dua orang dalam satu kereta atau motosikal bagi petani.
Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira musim menuai padi di kalangan masyarakat luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Datuk Douglas Uggah berkata, pihaknya telah berbincang dengan polis untuk membenarkan pelepasan kepada keadaan seumpama itu.
“Kini musim menuai padi dan kita benarkan dua orang dalam satu kereta atau motosikal iaitu pasangan suami isteri," katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, sarawak merekodkan enam lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 403 kes.
Katanya, kesemua 6 kes tersebut berlaku di Kuching dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Menurutnya, sebanyak 135 kes baharu Person Under Investigation (PUI)
dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,319 kes.
"Daripada jumlah itu, 2,824 kes adalah negatif dan 92 kes PUI masih menunggu keputusan makmal," katanya.
Douglas berkata, sebanyak dua lagi kes positif telah sembuh iaitu di Kuching menjadikan jumlah kes yang sembuh sebanyak 57 kes dan telah discaj dari hospital di Sarawak.
"Daripada 57 kes tersebut, 32 kes dari Hospital Umum Sarawak, 13 kes dari Hospital Sibu, 9 kes dari Hospital Miri dan 3 kes dari Hospital Bintulu," katanya,
Beliau berkata, sebanyak 304 kes positif masih dirawat di Hospital Umum Sarawak dan juga di tiga step down center iaitu Kompleks Belia dan Sukan, Anjung Kasih Hospital Umum Sarawak dan Institut Latihan KKM di Batu 13 Kuching.