IPD Kuching sedia tangani kebanjiran orang ramai di bank
KUCHING:Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching siap-sedia menangani kebanjiran orang ramai di Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menguruskan Bantuan Prihatin Nasional( BPN) mulai hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata,seramai tujuh orang terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota ditugaskan untuk memantau situasi di dua buah cawangan BSN di bandaraya Kuching, mulai jam 8 pagi tadi hingga jam 3 petang ini.
"Semalam kita telah mengadakan pertemuan dengan Pengurus BSN Kuching di Cawangan BSN Jalan Kulas, Satok.
"Perbincangan adalah mengenai persediaan pihak bank semasa kehadiran orang ramai yang akan hadir ke Cawangan BSN untuk urusan BPN,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,saranan juga telah diberi kepada pihak BSN supaya mengambil langkah-langkah keselamatan berkait dengan wabak COVID-19.
"Pihak BSN memaklumkan ba hanya 2 buah Cawangan BSN yang akan beroperasi iaitu di Cawangan BSN Jalan Chan Bee Kiew , Padungan dan di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya. Cawangan BSN di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya juga telah dilawati bagi melihat persediaan pihak Cawangan BSN berkenaan untuk menerima kehadiran orang ramai yang membuat urusan BPN.
"Hasil pemantauan seawal jam 8 pagi tadi di kedua-dua cawangan BSN tersebut mendapati orang ramai telah beratur dengan menjaga jarak masing-masing mengikut tanda jarak yang telah disediakan oleh pihak bank di luar pintu bank.
"Mereka juga telah dikawal oleh petugas RELA yang membantu pihak bank untuk mengawal kehadiran orang ramai,"ujarnya.
Katanya,pihak bank juga telah menyediakan sanitizer dan alat pengukur suhu di mana suhu badan orang yang masuk ke dalam bank telah diambil.
"Hanya tiga orang dibenarkan masuk ke dalam bank pada satu-satu masa dan akan berurusan di kaunter bank yang telah disediakan.
"Langkah keselamatan juga telah diambil oleh pihak bank bagi memastikan kakitangan bank yang bertugas menggunakan pelindung diri seperti penggunaan ‘’mask”,"jelasnya.
Katanya,adalah dianggarkan seramai 141 orang telah berurusan di BSN Jalan Chan Bee Kiew manakala 270 orang berurusan di BSN Jalan Bayor Bukit.