Dokumen palsu pun lulus bantuan?
Kementerian itu memaklumkan demikian susulan penularan di media sosial yang mendakwa terdapat warganegara asing menerima bantuan terbabit.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian menjelaskan, permohonan baharu dan rayuan BPN yang dibuka dari 1 hingga 30 April, telah menerima lebih tiga juta permohonan baharu dan rayuan setakat ini.
“Buat masa ini, permohonan BPN itu belum lagi diputuskan sama ada diluluskan atau sebaliknya. Keputusan akan dimaklumkan kepada pemohon pada Mei 2020.
“Permohonan baharu dan rayuan yang telah diterima adalah tertakluk kepada proses verifikasi bagi memastikan BPN diterima oleh mereka yang benar-benar layak,” kata kementerian berkenaan.
Menurut kementerian berkenaan, permohonan terbabit akan diproses dan disemak silang dengan pangkalan data agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan warganegara Malaysia di samping semakan pendapatan dengan agensi pendapatan.
“Justeru, permohonan yang menggunakan dokumen palsu atau yang disenaraihitam akan ditolak dan tidak akan menerima BPN.
“Diingatkan bahawa sekiranya pemohon didapati memberikan maklumat tidak benar atau palsu, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga tiga tahun.
“Kerajaan berhak menarik balik bantuan yang telah diluluskan. Kementerian Kewangan kekal komited dalam memastikan semua bantuan kerajaan adalah berkesan dan membantu kumpulan sasar yang ditetapkan,” kata kementerian itu. - BERNAMA