Jual udang galah bantu keluarga
TANJUNG MANIS: SEORANG gadis, Shakira Mujah membantu keluarganya dengan menjual udang galah untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
Shakira, lepasan tingkatan 5 di SMK Meradong menjual udang galah digerai yang didirikan oleh bapanya berhampiran Jambatan Stubah, Tanjung Manis.
Udang galah yang dijual adalah hasil tangkapan bapanya di sekitar sungai Stubah dan juga sungai berdekatn rumah panjang mereka.
YB Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak sempat singgah di gerai tersebut untuk membeli udang ketika dalam perjalanan dari Tanjung Manis ke Sarikei.
Beliau sempat membeli kesemua udang galah tersebut sebanyak 5 kilogram yang dijual oleh Shakira.
"Terima kasih Datu Len kerana sudi membeli kesemua udang dan wang ini nanti dapat meringankan sedikit bebanan dan perbelanjaan kami sekeluarga" ujar Shakira.
Difahamkan harga udang galah 'fresh' yang dijual Shakira dalam lingkungan RM50 hingga RM60 sekilogram berdasarkan saiz udang galah.
Shakira tidak kekok dan malu untuk membantu keluarganya menjual udang demi kelangsungan hidup walaupun ada sedikit kesukaran disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.