Kematian akibat Covid-19 di Indonesia melebihi 300 kes
JAKARTA, 10 April Bernama-- Sebanyak 26 lagi kematian akibat virus COVID-19 dilaporkan di Indonesia dalam tempoh 24 jam sejak pukul 12 tengah hari semalam, menjadikan jumlahnya kini meningkat kepada 306 kes.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata dalam tempoh yang sama jumlah kes positif virus itu bertambah 219, menjadikan jumlahnya kini 3,512 kes.
Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 154 kes, diikuti Jawa Barat (40 kes), Jawa Tengah (22), Jawa Timur (22) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
Bermula hari ini, kota Jakarta juga dikuatkuasakan lagi tambahan peraturan menerusi perintah Perbatasan Sosial Berskala Besar (PSBB), yang antaranya mewajibkan pemakaian penutup hidung dan mulut ketika di luar rumah.
Perintah itu turut mengehadkan jumlah penumpang dalam kenderaan awam dan persendirian yang tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti kenderaan berkenaan, melarang penunggang motosikal membawa pembonceng, restoran atau kedai makan hanya dibenarkan menjual makanan yang dibungkus sahaja, serta tidak boleh berkumpul melebihi lima orang.
Setakat ini PSBB itu dikuatkuasakan sehingga 23 April, dan mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum Rp100 juta (hampir RM30,000) dan penjara maksimum setahun.
Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sebentar tadi berkata walaupun keadaan di negara kita insyaAllah akan kembali pulih dengan langkah-
langkah yang sedang diambil, kita mesti ingat bahawa bukan negara kita sahaja yang terkesan dengan wabak ini.
"Seluruh dunia terkesan termasuklah negara-negara jiran kita.
" Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini," tegas beliau.
Muhyiddin berkata jika kita tidak tingkatkan kawalan, "mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk
ke negara kita. Na’uzubillah."
"Jadi, saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain
agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara."
-- Bernama