Kluster baharu Covid-19 babitkan 31 petugas kesihatan di Sabah
PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu, membabitkan petugas kesihatan di tiga hospital di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata tiga hospital itu ialah Hospital Queen Elizabeth 2; Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas; dan Hospital Keningau.
Katanya, sehingga 18 April, terdapat 31 kes dikenal pasti positif COVID-19 dalam kluster itu, termasuk dua kes baharu dilaporkan hari ini.
“Semua kes masih dalam rawatan setakat ini. Kluster ini terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga atau orang awam.
“Kluster ini dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2, adalah positif pada 2 April lepas,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di KKM hari ini.
Jelas Dr Noor Hisham, petugas itu didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari berkenaan (2 April).
“Siasatan dan saringan bagi kontak kakitangan itu telah dijalankan. Jangkitan COVID-19 didapati positif bagi beberapa rakan setugas serta ahli keluarga.
“Kesemua 31 kes masih berada di dalam wad dan adalah dalam keadaan stabil. Tiada kes yang mendapat jangkitan ini semasa mengendalikan pesakit COVID-19,” katanya.
Pengesanan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster dan sub-kluster COVID-19 yang dikesan di negara ketika ini, melebihi 30 kluster.
Sehingga hari ini, empat kluster terbesar yang dikesan ialah kluster BBIM,183 kes; kluster Persidangan Gereja 132 kes; kluster Eksekutif 121 kes; dan kluster Madrasah Sungai Lui dengan 128 kes.
-- Bernama
Gambar hiasan