Pusat khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi dibenar beroperasi

KUCHING, 18 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak membenarkan pusat khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi serta wakil sah untuk beroperasi dua kali seminggu dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Premis itu dibenarkan beroperasi pada hari Rabu dan Jumaat, dari 10 pagi hingga 4 petang dengan bilangan pekerja tidak melebihi tiga orang pada setiap waktu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata premis berkenaan ditakrifkan sebagai perkhidmatan perlu seperti yang telah dipersetujui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata kebenaran operasi itu bagi menyokong keperluan perkhidmatan komunikasi pengguna seperti keperluan untuk penukaran kad SIM, masalah bil dan isu rangkaian.

“Mereka juga perlu mengehadkan jumlah pelanggan pada tahap minimum dengan mengamalkan jarak sosial serta premis wajib memastikan langkah-langkah saringan (suhu badan) dan pencegahan dilaksanakan demi keselamatan pekerja dan pelanggan,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Uggah berkata berkuat kuasa 20 April, semua rakyat Sarawak yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dikehendaki menjalani kuarantin 14 hari di rumah dan akan dipantau oleh Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai rumah di tempat mereka tiba (Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri) mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin yang telah disediakan,” katanya.

Sebelum ini, semua rakyat Sarawak yang pulang ke negeri ini telah ditempatkan di beberapa hotel yang dikenal pasti sebagai pusat kuarantin, namun bilangan yang semakin meningkat setiap hari menyebabkan kerajaan Sarawak terpaksa mengambil inisiatif baharu dalam mengatasi masalah lokasi untuk kuarantin.

Bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara pula, Uggah berkata mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin yang telah disediakan di tempat mereka tiba.

“Semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara dan telah lengkap menjalani kuarantin selama 14 hari di Semenanjung, mereka akan diberikan arahan ‘Notis Duduk Rumah’ selama 14 hari,” katanya.
--Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel