Lelaki OKU hilang di kebun
LAWAS: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya(OKU) dikhuatiri hilang ketika pergi ke kebun di Lakutan, Jalan Merapok, Lawas, di sini, pagi semalam.
Mangsa, Abdul Sani Abdullah, 50, pergi ke kebun seorang diri menggunakan motosikal pada jam 8.30 pagi masih belum balik ke rumah hingga hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 10.59 pagi tadi.
"Adik mangsa cuba mencari mangsa bersama penduduk kampung sehingga petang semalam tetapi masih belum menjumpai mangsa.
"Hanya motosikal mangsa berjaya dijumpai pada 5.43 petang," katanya di sini hari ini.
Katanya,jarak lokasi kejadian dari rumah mangsa adalah satu kilometer.
"Sejarah mangsa pernah hilang dua kali dan ini merupakan kali ketiga mangsa hilang," jelasnya.
Tiong berkata,pasukan Bomba melakukan pencarian pada radius 530 meter dari tempat motosikal mangsa dijumpai.
"Setakat ini masih belum menjumpai apa-apa bukti dari pergerakan mangsa," katanya.