Lembah Pantai cecah hampir 500 kes
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Zon merah COVID-19 kekal 26 daerah dengan Lembah Pantai merekodkan peningkatan jumlah kes positif yang hampir mencecah 500 kes, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).
Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, daerah berkenaan merekodkan 496 kes setakat 12 tengah hari semalam, berbanding 459 kes sehari sebelum itu.
Selain itu, daerah Hulu Langat turut mencatatkan penambahan kes positif iaitu 388 kes berbanding 378 kes, manakala Petaling meningkat daripada 335 kes kepada 356 kes.
Zon merah mewakili jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.
Negeri Selangor masih mencatatkan bilangan kes positif COVID-19 tertinggi iaitu 1,236 kes manakala kes terendah dengan masing-masing merekodkan satu kes di sembilan daerah iaitu Baling, Padang Terap, Bandar Bahru dan Sik di Kedah; Raub di Pahang; serta Sri Aman, Matu, Mukah, dan Lawas di Sarawak.
Sementara itu, statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-34 dalam senarai negara dijangkiti pandemik COVID-19 secara global, dengan 4,683 kes positif dan 76 kematian setakat semalam.
Berikut adalah senarai lokasi zon merah lain di seluruh negara:
Perak KES
Hilir Perak 64
Kinta 93
Selangor
Sepang 66
Petaling 356
Hulu Langat 388
Gombak 132
Klang 172
Hulu Selangor 48
Kuala Lumpur
Cheras 71
Kepong 121
Lembah Pantai 496
Titiwangsa 115
Putrajaya 52
Negeri Sembilan
Seremban 219
Rembau 53
Melaka
Jasin 68
Melaka Tengah 48
Pahang
Kuantan 80
Jerantut 70
Johor
Batu Pahat 51
Kluang 193
Johor Bharu 177
Kelantan
Kota Bharu 89
Sarawak
Kuching 221
Kota Samarahan 49
Sabah
Tawau 71
JUMLAH 3,563
-- Bernama