Malaysia destinasi pelancongan Islam
KUCHING: Industri pelancongan Islam merupakan salah satu segmen yang diyakini boleh menjana hasil yang lebih tinggi kepada
industri pelancongan di Malaysia.
Menyedari potensi yang besar itu, Pusat Pelancongan Islam (ITC) agensi
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi terus meneroka peluang dalam segmen
pasaran itu, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan utama terutamanya selepas krisis COVID-19 berakhir.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, ini penting kerana asas ekonomi negara perlu dibina semula.
"Berdasarkan pendapatan sebanyak RM16.72 bilion yang dijana segmen ini
pada tahun lalu, kita yakin industri pelancongan Islam negara boleh
melonjak dengan lebih tinggi selepas COVID-19.
"Ini setelah mengambil kira Malaysia telah diiktiraf sebagai tempat pertama dalam Laporan Global Muslim
Travel Index dan destinasi Muslim Mesra-Wanita dalam Laporan Muslim Women in Travel oleh MasterCard dan CrescentRating pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ITC sedang mengatur beberapa program pengguna dan dagangan untuk dilaksanakan selepas Covid-19.
"Ini termasuklah program
yang membabitkan produk pelancongan mesra Muslim, hub halal serta keyakinan terhadap jenama pelancongan Islam.
"Saya yakin semua program yang disusun atur mampu menyuntik
bukan sahaja minat, malah keyakinan serta kefahaman masyarakat dan penggiat industri terhadap keunikan dan potensi besar pelancongan Islam di Malaysia,"katanya.
Dalam pada itu,katanya, pihaknya akan meneliti
semula skop dan fungsi ITC supaya peranannya dapat diperluas dengan
fungsi yang lebih efektif dan holistik.
"Ini bagi memastikan industri
pelancongan Islam terus diperkasakan agar dapat memberikan impak yang
signifikan kepada sosio-ekonomi negara.
"Bersama-samalah kita berdoa agar COVID-19 dapat berakhir dengan segera,"katanya.
Beliau
juga meminta semua rakyat untuk memainkan peranan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya duduk di rumah bagi memutuskan rantaian COVID-19.