MBM daftar penjaja tidak berlesen

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil inisiatif akan mendaftar dan mengeluarkan permit sementara kepada penjaja, peniaga kecil serta gerai makan tidak berlesen bagi memenuhi kriteria penerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, kesemua permit sementara yang dikeluarkan adalah percuma dan sah sehingga 30 September ini.

“Kerajaan negeri Sarawak melaksanakan inisiatif menyediakan BKSS untuk membantu dan mengurangkan beban penjaja dan peniaga kecil termasuk peniaga gerai makanan di seluruh Sarawak ketika waktu sukar ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Adam berkata, borang permohonan BKSS boleh didapati dari pintu masuk utama MBM, Pusat Transformasi Bandar (UTC) masing-masing pada Isnin hingga Jumaat mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan jam 2 hingga 4 petang serta pintu masuk utama Tamu Muhibbah pada Isnin hingga Ahad mulai jam 8 pagi hingga 1 petang.

Katanya, setiap borang perlu disertakan salinan kad pengenalan, gambar gerai dan lokasi jualan.

“Borang tidak lengkap tidak dipertimbangkan untuk kelulusan. Kelulusan dan pengesahan akan dilakukan oleh pegawai MBM,” ujarnya.

Borang yang telah siap diisi boleh dihantar ke lokasi sama bermula Isnin, 20 April ini sementara tarikh akhir permohonan adalah 31 Mei.
LihatTutupKomentar
Cancel