Pecah kedai, dua penganggur dipenjara
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Akibat memecah masuk sebuah kedai serta mencuri barangan milik kedai itu berjumlah RM12,980 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Rosley Gaspar, 40, dan Mohd Affendy Mohd Ghazali, 39, selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadap mereka.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 31 Mac lepas.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan pecah kedai dengan mengumpil pintu dan masuk ke dalam kedai serta mencuri rokok, barangan kosmetik dan mesin tunai mengandungi wang tunai kesemuanya berjumlah RM12,980 milik Kedai Nusantara Nilam, Jalan Imbi, di sini antara 5.15 pagi dan 6.50 pagi, 31 Mac lepas.
Kedua-duanya dituduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika kesalahan adalah curi, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau seterusnya bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.
-- Bernama
